KUALA LUMPUR: Kemunculan lembaga hitam seperti ‘orang minyak’ yang sering menanggalkan seluar dan beraksi kelucahan melampau apabila ternampak wanita di sekitar Jalan Tiong Nam, Chow Kit di sini, sejak tiga bulan lalu, ditahan pagi semalam.
Suspek yang bertubuh besar dikatakan kerap muncul pada Subuh dan awal pagi di belakang rumah penduduk sebelum sengaja berdiri tegak sambil berbogel di kawasan terbuka.
Dia yang berusia 40-an itu diawasi sejak tiga bulan lalu dikatakan mempunyai ‘ilmu’ untuk menghilangkan diri sebaik dikepung.

Namun, selepas bermaharajalela selama tiga bulan, suspek yang menaiki Perodua Kancil diberkas enam penduduk lelaki jam 9 pagi semalam.
Mereka menunggu waktu paling sesuai menangkapnya.
Penduduk, Majudin Pandak, 44, berkata, lelaki berkenaan kerap mengganggu tunangnya, Yati, yang tinggal di kawasan berkenaan sejak lebih sebulan lalu.
Terbaru, menurutnya, dalam kejadian jam 7 pagi semalam, Yati sedang berada di dapur sebelum suspek muncul lalu melakukan aksi kurang sopan dengan membuka seluar.
“Lelaki itu dengan wajah ghairah sengaja memegang alat sulit sebelum menunjukkannya ke arah tunang saya yang tergamam ketakutan. Dia segera menghubungi saya memaklumkan kejadian terbabit,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Koor Kar Chun, 24, berkata, isterinya, Goh Lai Mei, 23, menjerit-jerit sebelum memanggilnya apabila melihat seorang lelaki tidak dikenali berada di luar dapur rumah mereka, semalam.
“Lelaki itu sengaja mempamerkan kelucahan melampau kepada isteri saya berulang kali.
“Kejadian itu bukanlah pertama kali kerana isteri saya pernah beberapa kali diganggu dengan aksi serupa oleh lelaki terbabit sejak lebih sebulan lalu,” katanya.
Menurutnya, dia melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan di kawasan berkenaan untuk menangkap suspek.
“Kami menghubungi polis sebelum dia dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan,” katanya yang turut hadir ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan.
Perbuatan lelaki terbabit turut disaksikan penduduk, Manjit Singh Chopra Ajaib Singh, 33, kira-kira jam 8 pagi semalam.
Dia yang tinggal di Lorong Tiong Nam 3, mendakwa ternampak seorang lelaki bertubuh besar berdiri menghadap rumahnya.
Katanya, suspek yang dalam keadaan mencurigakan memandang ke arah seorang penghuni wanita di kawasan berhampiran sebelum menanggalkan seluar.
“Saya benar-benar terkejut dengan perbuatan lelaki berkenaan yang sekian lama menakutkan wanita di kawasan perumahan ini dengan perilaku tidak senonoh.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah mengesahkan penahanan lelaki itu.
Difahamkan suspek yang turut diberkas seorang pemandu teksi, Murugarajah Gopal, 40, mendakwa kononnya dia anggota polis berpangkat lans koperal kepada penduduk yang menahannya dalam usaha melepaskan diri.
No comments:
Post a Comment